Polis tahan tiga lelaki tipu pelaburan mata wang kripto RM12 juta

admin
2 Min Read

IPOH: Polis menahan tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam penipuan pelaburan mata wang kripto membabitkan kerugian berjumlah RM12 juta, dua tahun lalu. Kesemua suspek berusia 35 hingga 55 tahun itu ditangkap dalam tangkapan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Pahang, awal pagi tadi. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan terhadap kesemua suspek itu membawa kepada rampasan 54,996.8 dolar Amerika Syarikat (AS) dengan anggaran nilai semasa berjumlah RM259,955.80. Katanya, tangkapan susulan akan dijalankan bagi mengesan suspek lain yang masih bebas. “Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK telah membuat analisis ke atas transaksi yang dibuat mangsa dan berjaya mengesan suspek-suspek yang menerima mata wang kripto tersebut. “Kesemua mereka berjaya ditangkap dalam siri tangkapan di Lembah Klang dan Pahang pagi tadi (hari ini),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini. Ramli Mohamed dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia pada 9 Januari lalu memberitahu, seorang pengarah syarikat di Selangor mendakwa telah diperdaya suspek untuk melabur dalam projek mata wang kripto ‘CCGDS’ di negara China. Beliau dilaporkan berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak 50 peratus daripada pelaburan berkenaan. “Pengadu telah bersetuju dan berjaya mengumpulkan dana sebanyak 2,749,437 dolar AS (RM12 juta) daripada 12 pelabur termasuk empat orang pelabur dari China. “Bayaran dana itu telah dibuat ke dalam akaun e-wallet kripto yang diberikan suspek dan beberapa akaun bank tempatan. “Pengadu menyedari ditipu selepas semakan yang dibuat pada 12 Oktober lalu mendapati dana pelaburan telah dipindahkan ke akaun e-wallet disyaki milik peribadi suspek,” katanya. – UTUSAN

Share This Article
By admin
test bio
Please login to use this feature.