Wanita warga emas rugi RM800,000 gara-gara buat pelaburan atas talian

admin
2 Min Read

KUCHING, 31 Jan: Seorang pesara sebuah institusi kewangan di Kuching menjadi mangsa kes penipuan pelaburan atas talian dengan mengalami kerugian mencecah RM800,000. Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata mangsa merupakan seorang wanita berusia awal 70an dan telah tertarik dengan pelaburan ‘Digital Coin’ yang dikendalikan Syarikat Accerx di Hong Kong melalui Facebook pada September 2023. Katanya, mangsa kemudian menekan satu pautan sebelum nombornya dimasukkan ke dalam satu kumpulan mesej di aplikasi WhatsApp. “Mangsa berurusan dengan seorang wanita tidak dikenali yang mengatakannya wakil Syarikat Accerx dari Hong Kong. “Suspek memberikan penerangan mengenai pelaburan cryptocurrency dan mengatakan mangsa akan memperolehi keuntungan 20 hingga 30 kali ganda apabila harta cryptocurrency melambung pada masa akan datang. “Setelah beberapa bulan, mangsa telah bersetuju membeli beberapa ‘coin’ dalam nilai USD secara berperingkat dengan nama dan harga berbeza kerana diberitahu nilainya akan meningkat setelah diapungkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Mangsa kemudian diberikan ID bagi membolehkannya mengakses laman web untuk membuat pelaburan dan memantau keuntungan diperolehi. “Mangsa kemudian melakukan empat transaksi pembayaran keseluruhan berjumlah lebih kurang RM800,000 melalui pemindahan wang secara atas talian, mesin deposit tunai dan kaunter bank ke dua akaun atas nama syarikat tidak dikenali pada penghujung Januari 2024 atas pelbagai tujuan seperti ‘verification fee’, ‘handling fee’ dan sebagainya. “Mangsa hanya menyedari diri ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan berjumlah lebih kurang USD5 juta,” katanya. Tambahnya, suspek juga diarahkan membuat bayaran cukai berjumlah RM1.2 juta sekiranya ingin mengeluarkan wang pelaburan dan keuntungan. Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian dan siasatan dijalankan di bawah Sekyen 420 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Share This Article
By admin
test bio
Please login to use this feature.